Sunday, 6 March 2016

Punca Pembuangan Bayi

Dewasa ini, masalah pembuangan bayi kian berlaku dalam kalangan masyarakat kita sama ada bayi tersebut dibuang ke dalam sungai, tong sampah, malahan ada yang digantungkan di pintu pagar masjid. Perkara ini dengan secara tidak langsung menunjukkan moral masyarakat kita semakin rendah. Persoalannya, apakah punca-punca yang menyebabkan kes pembuangan bayi berlaku?




Satu daripada punca penyebab masalah ini adalah pengaruh rakan sebaya. Hal ini demikian kerana remaja mudah dipengaruhi oleh perbuatan rakan sebaya mereka dan akan mengikuti apa sahaja yang dilakukan oleh rakan. Remaja yang tidak berfikiran matang tidak akan dapat membezakan sama perbuatan rakan mereka itu betul ataupun salah dan lantaran itu, mereka akan mudah tersilap langkah dan akhirnya mendatangkan kesusahan dalam kehidupan mereka kelak.


Selain itu, remaja yang kekurangan didikan agama dan nilai moral juga merupakan satu  daripada punca berlakunya pembuangan bayi. Ramai remaja pada kini kurang mendapat didikan agama kerana mereka tidak menyedari betapa pentingnya ilmu keagamaan dalam kehidupan seseorang. Agama melarang penganut-penganutnya melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral dan menjatuhkan maruah diri . Remaja yang kurang didikan agama sememangnya mudah melakukan kesilapan seperti membuang bayi yang dilahirkan.


Sementelahan itu, remaja yang kekurangan kasih sayang dan perhatian daripada keluarga dikenal pasti juga sebagai antara punca lain masalah pembuangan bayi berlaku. Kesibukan ibu bapa bekerja, keluarga yang porak-peranda akibat perceraian ibu bapa, pergaduhan antara ibu bapa dan bilangan adik-beradik yang ramai menyebabkan remaja berusaha mencari jalan keluar untuk mendapat kasih sayang, perhatian dan ketenangan fikiran daripada pihak lain serta kebebasan hidup. Justeru, dalam proses ini banyak antara mereka yang mudah terpengaruh oleh anasir-anasir yang kurang sihat dan hal ini diburukkan lagi oleh dorongan nafsu untuk mendapat keseronokan sementara tanpa memikirkan akibatnya.


Seperkara lagi, sikap mereka yang mementingkan kepentingan sendiri dengan alasan menghadapi masalah kewangan untuk membela anak luar nikah tetapi sebenarnya mereka tidak mahu bertanggungjawab atas bayi tersebut, sama seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Hal ini demikian kerana mereka takut dipandang serong dan dihina oleh masyarakat setempat hanya kerana bayi itu merupakan anak luar nikah. Tambahan pula, mereka tidak mahu menanggung bebanan untuk memelihara bayi tersebut sehingga besar di samping menanggung malu atas perbuatan sendiri.


Malah, remaja kini sering mengamalkan pergaulan bebas yang menyababkan seks bebas berlaku. Hal ini demikian kerana mereka tidak mempunyai pegangan hidup yang kukuh dan sering gagal membuat perhitungan dalam kehidupan. Mereka mudah terpengaruh oleh hawa nafsu semata-mata dan akhirnya boleh mendatangkan kesusahan kepada diri sendiri, bak kata pepatah, ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut suka duka.


Faktor lain seperti pengaruh media massa juga merupakan penyumbang kepada masalah pembuangan bayi. Remaja yang melayari laman web lucah atau menonton video lucah di rumah semasa ketiadaan ibu bapa di rumah menyebabkan pemikiran mereka lebih kepada perkara yang tidak menyihatkan. Sebagai akibatnya, rosaklah moral anak-anak muda ini yang masih meraba-raba dalam mencari jati diri mereka. Mereka mudah meniru dan terikut-ikut perlakuan yang ditonton dan kesudahannya mereka mudah terjebak dalam jenayah seks seperti perogolan atau sumbang mahram yang kian menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.


Sehubungan dengan itu, ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu mengurangkan masalah ini dengan memberikan sepenuh kasih sayang dan perhatian serta didikan agama dan bimbingan moral yang sempurna kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi supaya mereka tidak terjebak dalam masalah sosial ini, bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan memberi ilmu pengetahuan dan didikan agama kepada remaja, mereka akan mempunyai pegangan hidup yang kukuh dan seterusnya dapat mengelakkan diri daripada terlibat dalam masalah-masalah yang melibatkan maruah diri.

Natijahnya, para remaja perlulah pandai menjaga nama baik dan imej diri tidak kira berada di mana-mana tempat. Pelbagai pihak juga perlu membantu dan memberi didikan serta ajaran agama yang secukupnya kepada remaja supaya mereka tidak akan tersilap langkah. Sekiranya mereka menyedari akan betapa pentingnya maruah diri dalam kehidupan, nescaya mereka tidak akan melakukan perbuatan yang menjatuhkan maruah diri dan masalah pembuangan bayi semestinya dapat dibendung dengan sebaik yang mungkin.