Mutakhir
ini, dunia kami sedang pesat membangun dengan adanya pelbagai aktiviti yang
dijalankan untuk membangun negara masing-masing. Negara-negara yang canggih
mempunyai peralatan-peralatan yang moden untuk membantu pembangunan negara
mereka. Negara kita juga sedang menuju ke arah kemajuan lantas
aktiviti-aktiviti pembangunan negara giat dijalankan. Ini semestinya satu
fenomena yang baik namun di sebalik pembangunan itu, pencemaran juga berlaku
pada masa yang sama terutamanya pencemaran air yang telah mendatangkan banyak
masalah kepada kehidupan di dunia ini. Persoalan yang menjadi tanda tanya di
sini, apakah punca-punca yang menyebabkan berlakunya pencemaran sungai?
Pada
hemat saya, satu daripada puncanya ialah hakisan tanah yang biasa kita lihat di
dada akhbar. Dengan adanya perlaksanaan aktiviti pembinaan seperti petempatan,
kedai-kedai dan kompleks beli-belah, maka sudah tentu kawasan tanah yang baru
akan diterokai dan dibuka apabila pembinaan giat dijalankan. Struktur tanah
akan menjadi semakin longgar dan lama-kelamaan akan berlakunya hakisan tanah
mahupun tanah runtuh. Malah, aktiviti pertanian yang tidak terancang seperti
menanam tanaman di lereng bukit tanpa menggunakan cara penanaman secara
berteres akan memudahkan lagi hakisan tanah berlaku. Akibatnya, tanah yang
terhakis mengalir ke dalam sungai dan lama-kelamaan, sungai akan menjadi kotor
dan akhirnya tercemar.
Dalam
pada itu, pembuangan sampah sarap ke dalam sungai oleh orang yang tidak
bertanggungjawab juga menyumbang kepada pencemaran sungai. Mereka tidak ada
kesedaran diri dan tidak mempunyai tanggungjawab yang sepatutnya ada dalam diri
mereka menyebabkan mereka membuang sampah ke dalam sungai. Orang ramai yang
melakukan pembuangan sampah ke dalam sungai biasanya mementingkan diri sendiri
kerana mereka ingin membuang sampah dengan cepat dan mudah. Mereka tidak
memikirkan impak negatif akibat perbuatan mereka kepada penduduk yang lain.
Sekiranya pembuangan sampah sarap ke dalam sungai tidak diuruskan dengan
segera, keadaan ini semestinya akan mengancam kesihatan manusia di samping
mencemarkan sungai dan nenyebabkan hidupan akuatik mati. Justeru, ‘sudah terang
lagi bersuluh’ bahawa pembuangan sampah oleh orang ramai yang tidak
bertanggungjawab merupakan satu lagi punca yang menyebabkan pencemaran sungai.
Seperkara
lagi, pembuangan sisa-sisa toksik dan bahan-bahan kimia yang berbahaya oleh
sektor perkilangan ke dalam sungai juga boleh mencemarkan sungai. Hal ini
demikian kerana pengusaha-pengusaha kilang tidak merawat sisa-sisa toksik yang
akan dibuang ke dalam sungai terlebih dahulu dan akibatnya hidupan akuatik
seperti ikan dan udang mati keracunan. Oleh itu, air sungai tercemar oleh
sisa-sisa toksik dan bahan-bahan kimia yang beracun serta hidupan air yang telah
mati. Situasi ini semestinya akan menurunkan kualiti kehidupan manusia dan
mengancam kesihatan hidupan di dunia ini. Izharnya, pembuangan bahan-bahan
berbahaya daripada kilang juga mencemarkan sungai.
Tambahan
pula, kegiatan yang giat dijalankan oleh para pengusaha juga
menyebabkan sungai tercemar dengan teruk. Hal ini demikian kerana pokok-pokok
yang mempunyai akar yang panjang dan kuat dikenali sebagai ‘pelindung tanah’
kerana berfungsi untuk mencengkam tanah daripada mengalir apabila hujan turun.
Apabila pokok-pokok ini ditebang, struktur tanah menjadi semakin longgar dan
akhirnya akan terhakis atau berlakunya tanah runtuh. Tanah ini akan mengalir ke
dalam sungai dan ini sememangnya akan mencemarkan air sungai bahkan membunuh
hidupan akuatik secara tidak langsung. Hidupan air yang tinggal dalam sungai
yang tercemar sudah tentu akan mati kerana tidak mendapat bekalan oksigen yang
mencukupi. Oleh itu, sudah jelaslah bahawa kegiatan pembalakan juga menyumbang
kepada pencemaran sungai.
Akhirulkalam,
pencemaran sungai boleh mendatangkan pelbagai ancaman kepada hidupan di dunia
ini sekiranya tidak diuruskan dengan segera. Justeru, semua pihak perlulah
berganding bahu ‘bagai aur dengan tebing’ untuk menyelesaikan masalah
pencemaran air supaya semua penduduk dapat hidup dengan aman dan harmoni di
samping dapat menjaga kualiti alam sekitar. Ingatlah kita hanya ada satu bumi
sahaja untuk didiami dan semua orang wajib untuk menjaga dan mengekalkan
kebersihannya.