Sunday, 2 October 2016

Ciri-ciri Sebuah Petempatan yang Menjadi Idaman Sekeluarga

Pada zaman yang sedang pesat membangun ini, banyak tanah dan kawasan di negara kita yang belum diterokai oleh pihak pembangunan sebelum ini kian sudah giat dijalankan dengan aktiviti pembinaan terutama pembinaan kedai-kedai bertingkat dua atau bertingkat tiga dan petempatan yang terancang atau rumah kediaman. Dengan adanya rekaan yang unik pada petempatan terancang, hal ini menyebabkan setiap orang inginkan kawasan petempatan yang terancang ini untuk tinggal bersama-sama keluarga tersayang. Keluarga saya juga tidak ketinggalan menginginkan kawasan petempatan tersebut untuk didiami.

Bagi ciri-ciri sebuah petempatan yang menjadi idaman sekeluarga saya, petempatan tersebut perlulah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti taman rekreasi, tempat bersenam, tempat letak kereta yang luas , gelanggang bola keranjang dan taman bunga. Dengan adanya kemudahan yang serba-serbi ini, maka kami semestinya dapat mengisi masa lapang kami dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang berfaedah seperti berjoging, menunggang basikal, bermain badminton, bermain bola keranjang dan bersenam. Masa lapang kami sudah tentu dapat digunakan dengan sebaik-baiknya dan bukannya dihabiskan dengan memerap diri di dalam rumah sahaja ataupun menonton televisyen sepanjang hari.dengan adanya kemudahan-kemudahan ini, kami adik-beradik akan dapat meluangkan masa pada waktu petang untuk bersenam atau bersukan di taman tersebut dan hal ini secara tidak langsung juga akan mengekalkan kesihatan badan kami. Malah, kami sekeluarga akan dapat bersiar-siar di taman bunga untuk berborak-borak di samoing menghirup udara yang nyaman setelah makan malam. Hal ini semestinya dapat merapatkan lagi silaturahim sesama ahli keluarga saya. Keadaan ini ibarat ‘serampang dua mata’ kerana mendatangkan pelbagai kebaikan kepada kami.

Dalam pada itu, aspek yang paling penting iaitu aspek keselamatan juga perlu  ada pada petempatan yang menjadi idaman sekeluarga saya. Pengawal keselamatan perlu sentiasa mengawal keselamatan di petempatan tersebut agar keselamatan terjaga dan ketenteraman para penduduk terjamin. Dewasa ini, kita sering terlihat berita tentang kes-kes seperti kecurian, pecah rumah dan merompak kediaman terpampang di dada akhbar dan keadaan ini selalu membimbangkan masyarakat kerana masing-masing tidak tahu rumah siapa yang akan menjadi sasaran seterusnya. Keluarga saya juga selalu risau akan keselamatan tempat kediaman kami sekarang. Justeru, petempatan idaman kami mestilah mempunyai keselamatan yang baik agar penduduk dapat tinggal di situ dengan hati yang tenang. Dalam hal ini, pengawal keselamatan yang diupah untuk menjaga ketenteraman petempatan tersebut perlu rajin membuat rondaan untuk memastikan keselamatan terjaga serta dapat mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku seperti kecurian dan pecah rumah. ‘Sudah terang lagi bersuluh’ bahawa aspek keselamatan yang memuaskan merupakan satu daripada ciri petempatan idaman keluarga saya.

Seperkara lagi, petempatan idaman sekeluarga saya perlulah terletak berhampiran dengan sekolah dan pusat bandaraya . Hal ini demikian kerana perjalanan yang pendek ini bukan sahaja dapat menjimatkan kos malah menjimatkan masa kami juga. Sekiranya petempatan kami terletak berdekatan dengan sekolah, maka kami akan dapat berjalan kaki ke sekolah dan ini dapat meringankan beban kewangan ibu bapa. Antara sebabnya ialah kami tidak perlu menaiki bas ke sekolah ataupun ketinggalan bas sekolah akibat lewat bangun daripada tidur dan kelebihan ini sememangnya menguntungkan kami lima orang adik-beradik. Petempatan yang berdekatan dengan pusat bandaraya ini juga dapat menjimatkan masa untuk pergi ke situ di samping menjimatkan kos minyak kereta. Jikalau masa yang diperuntukkan untuk pergi ke bandar dari tempat kediaman kami sekarang ialah 1 jam, maka masa yang diperlukan untuk sampai ke bandar dari petempatan idaman kami semestinya jauh lebih pendek dan ini semestinya amat memudahkan kami. Lagipun, kebanyakan saudara-mara kami menetap di bandar. Izharnya, lokasi petempatan idaman kami perlulah strategik supaya memudahkan kami sekeluarga untuk pergi ke sesuatu tempat.

Akhirulkalam, petempatan idaman saya sekeluarga mestilah mempunyai ciri-ciri seperti yang dijelaskan di atas agar kami dapat tinggal dengan hati yang senang dan hidup dengan bahagia dan harmoni bersama-sama keluarga tersayang serta jiran tetangga. Sekiranya saya merupakan seorang yang berkemampuan, nescaya saya akan menetap di petempatan idaman tersebut supaya kehidupan keluarga saya akan menjadi lebih baik dan bahagia.

2 comments: