Sunday, 2 October 2016

Punca-punca Pencemaran Sungai

Mutakhir ini, dunia kami sedang pesat membangun dengan adanya pelbagai aktiviti yang dijalankan untuk membangun negara masing-masing. Negara-negara yang canggih mempunyai peralatan-peralatan yang moden untuk membantu pembangunan negara mereka. Negara kita juga sedang menuju ke arah kemajuan lantas aktiviti-aktiviti pembangunan negara giat dijalankan. Ini semestinya satu fenomena yang baik namun di sebalik pembangunan itu, pencemaran juga berlaku pada masa yang sama terutamanya pencemaran air yang telah mendatangkan banyak masalah kepada kehidupan di dunia ini. Persoalan yang menjadi tanda tanya di sini, apakah punca-punca yang menyebabkan berlakunya pencemaran sungai?

Pada hemat saya, satu daripada puncanya ialah hakisan tanah yang biasa kita lihat di dada akhbar. Dengan adanya perlaksanaan aktiviti pembinaan seperti petempatan, kedai-kedai dan kompleks beli-belah, maka sudah tentu kawasan tanah yang baru akan diterokai dan dibuka apabila pembinaan giat dijalankan. Struktur tanah akan menjadi semakin longgar dan lama-kelamaan akan berlakunya hakisan tanah mahupun tanah runtuh. Malah, aktiviti pertanian yang tidak terancang seperti menanam tanaman di lereng bukit tanpa menggunakan cara penanaman secara berteres akan memudahkan lagi hakisan tanah berlaku. Akibatnya, tanah yang terhakis mengalir ke dalam sungai dan lama-kelamaan, sungai akan menjadi kotor dan akhirnya tercemar.

Dalam pada itu, pembuangan sampah sarap ke dalam sungai oleh orang yang tidak bertanggungjawab juga menyumbang kepada pencemaran sungai. Mereka tidak ada kesedaran diri dan tidak mempunyai tanggungjawab yang sepatutnya ada dalam diri mereka menyebabkan mereka membuang sampah ke dalam sungai. Orang ramai yang melakukan pembuangan sampah ke dalam sungai biasanya mementingkan diri sendiri kerana mereka ingin membuang sampah dengan cepat dan mudah. Mereka tidak memikirkan impak negatif akibat perbuatan mereka kepada penduduk yang lain. Sekiranya pembuangan sampah sarap ke dalam sungai tidak diuruskan dengan segera, keadaan ini semestinya akan mengancam kesihatan manusia di samping mencemarkan sungai dan nenyebabkan hidupan akuatik mati. Justeru, ‘sudah terang lagi bersuluh’ bahawa pembuangan sampah oleh orang ramai yang tidak bertanggungjawab merupakan satu lagi punca yang menyebabkan pencemaran sungai.

Seperkara lagi, pembuangan sisa-sisa toksik dan bahan-bahan kimia yang berbahaya oleh sektor perkilangan ke dalam sungai juga boleh mencemarkan sungai. Hal ini demikian kerana pengusaha-pengusaha kilang tidak merawat sisa-sisa toksik yang akan dibuang ke dalam sungai terlebih dahulu dan akibatnya hidupan akuatik seperti ikan dan udang mati keracunan. Oleh itu, air sungai tercemar oleh sisa-sisa toksik dan bahan-bahan kimia yang beracun serta hidupan air yang telah mati. Situasi ini semestinya akan menurunkan kualiti kehidupan manusia dan mengancam kesihatan hidupan di dunia ini. Izharnya, pembuangan bahan-bahan berbahaya daripada kilang juga mencemarkan sungai.

Tambahan pula, kegiatan yang giat dijalankan oleh para pengusaha juga menyebabkan sungai tercemar dengan teruk. Hal ini demikian kerana pokok-pokok yang mempunyai akar yang panjang dan kuat dikenali sebagai ‘pelindung tanah’ kerana berfungsi untuk mencengkam tanah daripada mengalir apabila hujan turun. Apabila pokok-pokok ini ditebang, struktur tanah menjadi semakin longgar dan akhirnya akan terhakis atau berlakunya tanah runtuh. Tanah ini akan mengalir ke dalam sungai dan ini sememangnya akan mencemarkan air sungai bahkan membunuh hidupan akuatik secara tidak langsung. Hidupan air yang tinggal dalam sungai yang tercemar sudah tentu akan mati kerana tidak mendapat bekalan oksigen yang mencukupi. Oleh itu, sudah jelaslah bahawa kegiatan pembalakan juga menyumbang kepada pencemaran sungai.

Akhirulkalam, pencemaran sungai boleh mendatangkan pelbagai ancaman kepada hidupan di dunia ini sekiranya tidak diuruskan dengan segera. Justeru, semua pihak perlulah berganding bahu ‘bagai aur dengan tebing’ untuk menyelesaikan masalah pencemaran air supaya semua penduduk dapat hidup dengan aman dan harmoni di samping dapat menjaga kualiti alam sekitar. Ingatlah kita hanya ada satu bumi sahaja untuk didiami dan semua orang wajib untuk menjaga dan mengekalkan kebersihannya.

No comments:

Post a Comment